Tidak benar!

Tidak benar!

Kota Kinabalu: Laporan wujudnya plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang membabitkan usaha dan persetujuan ’19 datuk bandar’ dari selatan Filipina adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah ketika dihubungi Deasoka.com, hari ini.

Memetik laporan yang dikeluarkan akhbar TheStar, hari ini, mendakwa, rancangan rahsia kumpulan militan Sulu itu dipercayai dibuat di selatan Filipina.

Akhbar berkenaan turut mendakwa perkara itu lanjutan daripada laporan sebuah lagi akhbar luar negara, South China Morning Post yang menyatakan kononnya satu pertemuan yang dihadiri 19 Datuk Bandar itu diadakan bagi membincangkan usaha merekrut 600 keanggotaan untuk mengintip dan menyerang negeri ini.

Laporan itu turut mendakwa pertemuan berkenaan diatur pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pasukan keselamatan itu akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, pasukan risikan ESSCOM sebenarnya sudah mendapat maklumat berhubung dakwaan itu sebelum ini dan malah cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Kita masih cuba mengesahkan dakwaan ini daripada rakan sejawat di negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya kawalan sempadan dan rondaan sentiasa diberi perhatian ketat dari semasa ke semasa.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan setakat ini tiada pergerakan tidak normal yang dikesan berlaku di perairan negara ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|