Sedia pengangkutan untuk memudahkan penerima vaksin

Sedia pengangkutan untuk memudahkan penerima vaksin

Kota Kinabalu: Kerajaan digesa menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi memudahkan rakyat yang mengalami kesukaran untuk datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, perkhidmatan itu penting kerana kebanyakan rakyat bukan saja tinggal jauh dari lokasi PPV tetapi juga tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Katanya, mengikut rekod, seramai 362,000 penduduk layak menerima vaksin di Tawau namun setakat ini, hanya 75,636 orang atau 20.89 peratus sudah menerima vaksin

“Ini menunjukkan masih ada seramai 28,614 lagi penduduk yang belum divaksinasi walaupun sudah berdaftar.

“Semasa lawatan di kawasan Parlimen saya mendapati, isu pengangkutan adalah antara faktor kadar vaksinasi rendah di Tawau kerana daerah ini agak luas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Christina berkata, ia ditambah pula dengan alasan hanya ada tiga PPV disediakan iaitu di Tawau, Balung dan Merotai.

“Oleh itu, saya mohon pihak kerajaan menambah jumlah PPV di kawasan Apas dan saya juga mencadangkan kerajaan menyediakan pengangkutan untuk membawa penerima vaksin ke semua PPV berhampiran,” katanya.

Christina berkata, pihak kerajaan sepatutnya mencontohi inisiatif negara jiran yang dilihat menyediakan pengangkutan untuk penerima vaksin hadir ke PPV di kawasan masing-masing.

“Setahu saya, negara jiran seperti Singapura, kerajaan menyediakan pengangkutan seperti teksi untuk membawa penerima vaksin ke PPV.

“Ia dilakukan walaupun penerima vaksin itu tinggal di kawasan bandar raya, bagaimana pula jika di kawasan ini yang rata-rata tinggal di kawasan luar bandar.

“Perkhidmatan ini sangat perlu terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan jauh daripada PPV,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|