Kota Marudu: Kehadiran empat warga emas pada program Outreach Imunisasi Covid-19 Peringkat Daerah Kota Marudu di Balai Raya Kampung Bonbong 4, di sini, mencuri perhatian ramai.
Bukan saja petah berkomunikasi dalam bahasa Dusun malah gelagat sementara menunggu giliran mendapatkan vaksin dos pertama turut menimbulkan suasana ceria.
Mereka yang dikenali sebagai Yipit Ega, 76, Suria Abdullah @ Sumpah, 69, Skenah Uging, 70 dan Narumi Udot, 71, dilihat rancak berbual dan ada kalanya menghilangkan rasa bosan dengan selitan gurau senda ketika berkomunikasi.
Namun apa yang menarik perhatian apabila semua mereka dilihat bersembang sambil memakan pinang atau Tingaton yang menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk kampung.
Anak Yipit, Jamil Malarun, 59, berkata, adab memakan pinang bersama sirih bukan suatu perkara pelik khususnya bagi golongan wanita warga emas.
Malah katanya, ibu dan rakan-rakannya dikatakan mula memakan pinang sejak zaman remaja lagi dan ia juga salah satu petua menjaga gigi.
“Setiap hari ibu boleh menghabiskan dua hingga tiga biji pinang sehari. Ia juga dikatakan sebagai pembuka selera makan.
“Tidak kira apa jua aktiviti dilakukan, makan pinang sering diamalkan pada bila-bila masa sama ada bersantai ataupun majlis keraian,”katanya ketika ditemui selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19 bersama ibunya.
Jamil berkata, setiap rumah juga tidak akan lengkap sekiranya tiada pinang disediakan untuk tetamu.
“Adakalanya mereka menggunakan beg plastik sebagai Pongingatan untuk dibawa ke mana-mana.
“Budaya memakan pinang ini menjadi satu kemestian penduduk di sini dan ia dimakan pada bila-bila masa,” katanya.
Selain Yipit dan empat rakannya, seramai 190 penduduk dari Kampung Bombong, Kampung Saparita, Estate AFC dan Estate Isian Jaya menerima suntikan vaksin pada Khamis minggu lalu.
-Deasoka