Kerajaan GRS tetap bertahan

Kerajaan GRS tetap bertahan

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap bertahan walaupun situasi politik semasa di Kuala Lumpur tidak menentu berikutan tekanan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdepan cabaran untuk mempertahankan kedudukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, berkata ia sejajar dengan keputusan disuarakan pemimpin gabungan berkenaan untuk meneruskan kerjasama melalui GRS.

Katanya, mereka sepakat untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan negeri berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, September tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh semua pemimpin komponen GRS selepas beliau berkomunikasi dengan mereka susulan perkembangan politik terkini di Kuala Lumpur.

“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini, akan berterusan.

“Kami akan terus mendokong mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya negeri yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hajiji berkata semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa saja langkah yang perlu untuk memantap dan memperkuatkan lagi kerajaan GRS.

“Saya berdoa agar kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan segera secara baik dan saksama agar kita dapat menumpukan perhatian dalam usaha menangani ancaman pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

GRS dianggotai komponen PN negeri yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), PAS dan Parti Maju Sabah (SAPP), selain komponen Barisan Nasional (BN) Sabah iaitu UMNO Sabah, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|