Covid-19: 1,010 kes baharu di Sabah hari ini

Covid-19: 1,010 kes baharu di Sabah hari ini

Kota Kinabalu: Catatan kes baharu Covid-19 di Sabah kekal tinggi dengan sebanyak 1,010 kes lagi dilaporkan di seluruh negeri, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata walaupun ada sedikit penurunan berbanding 1,166 kes semalam, situasi jangkitan masih pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata hari ini turut menyaksikan kes melalui saringan bergejala semakin bertambah dengan sebanyak 224 kes atau 22.2 peratus daripada jumlah kes harian berbanding 14.7 peratus semalam.

“Kategori bergejala adalah jangkitan sporadik, iaitu tidak diketahui punca jangkitan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, peratusan kes sporadik yang semakin bertambah adalah satu petanda bahawa virus sudah berada dalam komuniti mudah merebak.

“Amatlah disarankan agar kita mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) di mana juga kita berada agar kita tidak terdedah kepada jangkitan, lebih-lebih lagi mereka yang belum memperolehi vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya kes yang dikesan melalui saringan kontak rapat kekal tinggi iaitu sebanyak 527 kes atau 52.2 peratus daripada jumlah kes harian.

Kes selebihnya, beliau berkata disumbang melalui kluster sedia ada iaitu 146 kes dengan Kluster Pauh di Kinabatangan merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 67 kes.

“Selain itu, Kluster Jalan Corak di Tongod mencatat sebanyak 21 kes dan Kluster Tinabau juga di Kinabatangan dengan 13 kes.

“Satu kluster baharu di Sangkabok, Kuala Penyu turut direkodkan hari ini yang setakat ini mencatat 33 kes termasuk empat kes baharu hari ini,” katanya.

Bagi jumlah kes mengikut daerah, katanya Kota Kinabalu kekal mendahului dengan 183 kes, diikuti Sandakan (102), Kinabatangan (92), Tawau (90), Tuaran (79), Penampang (68), Keningau (53), Sipitang (53), Papar (45), Putatan (31), Tongod (27), Kunak (24), Kota Marudu (24), Kuala Penyu (20) dan Beaufort (19).

Selebihnya ialah Lahad Datu (18), Kudat (15), Telupid (14), Tenom (13), Kota Belud (11), Semporna (lapan), Kalabakan (enam), Beluran (enam), Pitas (enam) dan Nabawan (tiga).

Hanya daerah Tambunan dan Ranau tidak mencatat sebarang kes baharu, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|