Sabah tidak dapat hapuskan buaya kerana tertakluk di bawah CITES

Sabah tidak dapat hapuskan buaya kerana tertakluk di bawah CITES

Kota Kinabalu: Sabah berhadapan dengan halangan untuk menghapuskan buaya kerana tertakluk kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) iaitu sebagai haiwan dilindungi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, buaya hanya dibenarkan dibunuh jika mengancam keselamatan manusia.

“Buaya sejenis haiwan dilindungi memandangkan kes ini sering berlaku tetapi yang sebenarnya kita bergantung kepada CITES, kita mempunyai beberapa halangan untuk memastikan buaya dapat dihapuskan kerana kita mempunyai halangan-halangan di bawah CITES.

“Kita dibenarkan membunuh kalau dia membahayakan, mengancam keselamatan manusia dan di bawah peraturan CITES, kita di Sabah di bawah CITES Jadual 1 tidak dibenarkan untuk bunuh atau tujuan ekport tetapi kalau ia membahayakan kesihatan, ia boleh (dibunuh),” katanya bagi menjawab soalan daripada Mokran Ingkat (BN-Sungai Manila) dan Azhar Matussin (Warisan-Darau) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Jafry berkata demikian selepas Mokran mencelah berhubung isu serangan buaya yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir sebelum ini.

Mokran memaklumkan bahawa di Sarawak pada 2016 mengisytiharkan bahawa buaya tidak lagi dijadikan sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya dan beliau bertanya jika ada kajian langkah serupa yang dilakukan di Sabah.

Menjawab soalan Hassan, Jafry memaklumkan bahawa Jabatan Hidupan Liar (JHL) turut meletakkan papan-papan tanda amaran bahaya di kawasan-kawasan yang disyaki mempunyai populasi buaya yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa.

“Berhubung dengan insiden kejadian serangan buaya di dua kawasan iaitu di Kampung Serudung Laut dan di Sungai Berantian yang dibangkitkan oleh ADUN Sebatik, Pejabat Hidupan Liar Daerah Tawau telah mengambil maklum kedua-dua insiden tersebut dan telah membantu keluarga mangsa membuat tuntutan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas/Merbahaya dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah.

“Pada masa sama juga, Pejabat Hidupan Liar Tawau telah mengambil tindakan memasang perangkap dan pancing untuk menangkap buaya ini akan tetapi keadaan arus yang kadangkala deras menyebabkan pemasangan perangkap dan pancing ini tidak membawa kejayaan.

“Untuk makluman, Sungai Berantian dan juga kebanyakan sungai-sungai di Sabah adalah merupakan habitat yang sesuai bagi pembiakan buaya yang mana ada antara kawasan-kawasan ini bertindih dengan kawasan-kawasan penempatan penduduk,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|