Amalan lantik Pegawai LPP di PPN, PPK perlu dihentikan, bagi jimat berjuta duit Kerajaan: PPN Sabah

Amalan lantik Pegawai LPP di PPN, PPK perlu dihentikan, bagi jimat berjuta duit Kerajaan: PPN Sabah

KOTA KINABALU: Sudah sampai masanya kerajaan menghentikan amalan meletakkan pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata tiada peruntukan yang jelas untuk LPP melaksanakan amalan itu mengikut Akta 110, selain tiada kebaikan yang dapat dilihat dengan menempatkan pegawai LPP di Pertubuhan Peladang (PP)

Katanya, PP dimiliki oleh pemegang saham yang terdiri daripada orang perseorang, petani dan peladang yang menjadi ahli peladang di PPK melalui ahli di unit peladang, seperti sesebuah koperasi.

Menurutnya, PPN di miliki sahamnya oleh PPK manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pula dimiliki saham nya oleh 14 PPN dan sama sekali tidak melibatkan pihak kerajaan.

Beliau berkata, PP ditubuh menggunakan Akta 109 dan diselia oleh LPP dengan menggunakan Akta 110. Sementara LPP pula adalah milik kerajaan iaitu salah sebuah agensi di bawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Sepatutnya kerajaan hanya menyalurkan peruntukan kepada LPP untuk tujuan operasi dan membayar gaji pegawainya, dan LPP tidak perlu melantik ramai pegawai untuk ditempatkan di PP yang dimiliki oleh pihak lain (pemegang saham) sedangkan PP bukan agensi milik kerajaan.

“Justeru, adalah lebih baik duit kerajaan yang digunakan untuk membayar pegawai LPP yang ditempatkan di PP itu digunakan oleh kerajaan untuk membayar hutang negara”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, di sini pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai kelemahan amalan menempatkan pegawai LPP dalam PP yang dilihat lebih banyak menghalang perkembangan pertubuhan itu.

Mohd Nazri berkata, banyak urusan PPN dan PPK tergendala atau tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan peraturan yang membataskan pegawai LPP untuk meluluskan / melaksanakan perkara yang menjadi kepentingan PPN atau PPK.

Berikutan itu, katanya kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian dan menimbangkan perkara itu demi kebaikan sistem tadbir urus kerajaan dan kemajuan Pertubuhan Peladang secara keseluruhan.

“Sudah sampai masanya kerajaan melihat perkara ini secara serius. Perdana Menteri sendiri pasti tahu perjalanan Pertubuhan Peladang kerana beliau pernah menjadi Menteri Pertanian.

“Biarlah Pertubuhan Peladang, termasuk di peringkat PPN dan PPK berjalan sendiri, Pengarah Urusan, Pengurus Besar dilantik sendiri oleh pertubuhan masing-masing dan untung rugi ditanggung oleh pemegang saham.

“Berbanding meletakkan Pegawai LPP di PPN dan PPK sehingga ramai yang keliru. Malah dari 1973 PP diwujudkan, sehingga kini tidak nampak kejayaan Pertubuhan Peladang,” katanya .

Katanya, jika dibiarkan berdikari, beliau yakin Pertubuhan Peladang akan lebih menyerlah dan melakar keuntungan berikutan ada kebebasan untuk merancang program yang dilaksanakan untuk manfaat pemegang saham.

Mengulas lanjut, Mohd Nazri berkata penempatan Pegawai LPP di Pertubuhan Peladang menimbulkan masalah berkaitan kaedah melaksanakan keputusan kerana kedudukan mereka masih sebagai pegawai di lembaga berkenaan.

“Masalahnya, setiap urusan yang diputus oleh lembaga pengarah (Pertubuhan Peladang), pegawai itu tetap tidak dapat melaksanakannya kerana majikan pegawai itu ialah LPP, jadi di situ ada kekangannya kerana dia melapor kepada LPP, dan bukan kepada lembaga pengarah PP.

“Jika amalan ini dihentikan kita melihat ia boleh menjimatkan banyak wang kerajaan yang diperuntukkan kepada LPP. Duit itu boleh digunakan untuk membayar hutang kerajaan,” katanya.

Mohd Nazri berkata, Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 3 Julai 2020 pernah mengeluarkan Memo yang antara lain menjelaskan bahawa pelantikan Pengurus Besar PP termasuk NAFAS perlu dilaksanakan oleh pertubuhan itu sendiri secara perundangan.

“Selain bertentangan dengan akta, amalan meletak pegawai LPP itu juga tidak sesuai kerana berlaku konflik kepentingan,” tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|