Sidang DUN Sabah: Tiada keperluan sidang khas DUN bincang MA63 – Hajiji

Sidang DUN Sabah: Tiada keperluan sidang khas DUN bincang MA63 – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan pendirian Sabah mengenai tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO – Kadamaian) dan celahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) berhubung cadangan mengadakan sidang khas DUN yang disuarakan pembangkang.

Katanya, perbahasan di Parlimen berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti awal pembentukan Malaysia yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat sudah memadai.

“Sekarang di Parlimen sudah dibentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Malaysia mengenai isu yang berkaitan dengan MA63, jadi pada pendapat saya buat masa ini tiada keperluan mengadakan sidang khas di DUN.

“Kita harap Ahli Parlimen dari Sabah akan membahaskan perkara ini apabila pindaan perlembagaan itu dibahaskan di Parlimen nanti,” katanya ketika sesi penggulungan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Shafie dalam hujahnya berkata, persidangan khas DUN perlu diadakan bagi menyatakan pendirian Sabah mengenai tuntutan dalam MA63, termasuk berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata pindaan perlembagaan yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dipersetujui kerajaan Sarawak.

“Saya sendiri duduk dalam Majlis Khas MA63 (MKMA63) dan jelas kehadiran Ketua Menteri Sarawak terhadap pendirian mereka dalam majlis itu, sebab itu perkara ini dibawa ke Parlimen untuk dipinda

“Bagaimanapun, tuntutan lain walaupun tidak dimasukkan dalam pindaan perlembagaan, termasuk yang sudah disenaraikan iaitu ada 17 perkara akan diteruskan.

“Pindaan yang dilakukan dalam Perlembagaan Persekutuan ini yang jelas ia balik kepada asal sebelum tahun 1974, iaitu sebelum ia dipinda sebelum ini, kedudukan Sabah dan Sarawak kecuali Singapura dikembalikan.

“Selain itu disentuh juga mengenai penubuhan Malaysia, Hari Malaysia pada 16 September 1963 dijelaskan dalam perlembagaan baharu ini. Tuntutan lain kita masih lawan dan bincang untuk dapatkan hak,” katanya.

Hajiji menambah, walaupun tidak mengadakan sidang khas DUN, tiada halangan selama ini untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membincangkan mengenai isu MA63.

“Bagi saya bukan kita tidak mahu sidang khas, tetapi memadailah selama ini kita telah berbincang dalam dewan ini (DUN) untuk mengeluarkan pendapat kita mengenai MA63, memadailah perbahasan kita dari dulu lagi, dari zaman Barisan Nasional (BN) hingga WARISAN dan sekarang ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|