Keningau: Seorang pembonceng maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Apin-Apin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa maut dikenali sebagai Jainab Lambertus yang juga isteri kepada penunggang motosikal.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan didapati membabitkan sebuah motosikal yang bertembung dengan sebuah lori dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala suami dan tiga lagi mangsa membabitkan pemandu serta dua kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian
Katanya, mereka kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan Ambulans dan EMRS untuk mendapat rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 2.22 petang,” katanya.
-Deasoka