Produk rekaan dan kecantikan tempatan mampu tembusi pasaran antarabangsa

Produk rekaan dan kecantikan tempatan mampu tembusi pasaran antarabangsa

Kota Kinabalu: Rekaan fesyen tudung dan produk kecantikan hasil usaha seorang usahawan wanita tempatan menjadi pilihan sehingga mampu menembusi pasaran di negara Dubai dan London, England.

Produk cetusan Datuk Rahmah Jan Khan itu diakui bergerak maju hasil sokongon tidak berbelah bahagi daripada keluarga selain usaha berterusan.

Rahmah berkata, beliau melancarkan barisan produk tudung ‘Nur Rahmah’ yang akan diperagakan pada ekspo dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pada Disember depan.

Katanya, semua produk bermotifkan daun dan abstrak itu adalah hasil gabungan kreativiti bersama adiknya, Bibi Azlina Khan.

“Kami menyedari pakaian tudung jenis selendang amat popular dalam kalangan pembeli terutamanya di Dubai.

“Kebanyakan mereka jarang guna jenis bawal. Perkara itu kemudiannya mencetuskan pelbagai idea,” katanya pada sidang media selepas pelancaran diadakan di Magelan Sutera Habour, di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan perasmian produk jenama JKhan itu adalah Datin Seri Juliah Salag yang juga isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Rahmah berkata, semua koleksi itu juga sudah dipaten agar tidak mudah untuk di tiru di pasaran.

Katanya, menjelang bulan Februari tahun depan, koleksinya juga akan membuat penampilan pada pertunjukkan fesyen etnik di London melalui sebuah agensi fesyen di negara tersebut.

Sementara itu, selain pakaian, Rahmah turut menawar enam produk kecantikan dan penjagaan diri wanita.

Katanya, barisan produk kecantikan JKhan masih bertahan selepas tiga tahun dan kini ia boleh didapati di seluruh Malaysia termasuk ejen di Brunei dan Singapura.

“Sejak pandemik Covid-19 dia tahun lalu, penjualan diadakan secara atas talian tetap dan ia amat memberangsangkan.

“Ramai pelanggan memanggil minyak pembersih kami sebagai minyak mujarab kerana mampu memulihkan penyakit kulit psoriasis.

“Selain daripada itu, semburan pelembap kami juga antara yang terlaris dengan keupayaan efektif untuk mengelak kulit kering,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|