Airasia super app kembang perkhidmatan e-dagang ke Kota Kinabalu

Airasia super app kembang perkhidmatan e-dagang ke Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Syarikat Penerbangan Airasia melebarkan khidmat airasia food dan airasia fresh untuk penghantaran makanan serta barangan runcit menerusi airasia super app ke Sabah.

Perkhidmatan yang bermula di ibu negeri itu dijangka dapat membantu menjana ekonomi tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain membantu peniaga tempatan mendapat lebih pendapatan.

Ia menerusi kadar komisen terendah di pasaran, serta tawaran lebih nilai kepada para pelanggan airasia.

Menteri Kewangan II Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau amat menyambut baik insiatif ini yang selari dengan hasrat kerajaan Sabah untuk mempertingkatkan lagi industri e-dagang di Sabah.

Katanya, ia memberi peluang kepada usahawan-usahawan tempatan terutamanya peniaga kecil, untuk merangka semula cara perniagaan mereka.

“Dahulunya, kita mendirikan gerai untuk memulakan perniagaan namun sekarang, kita hanya perlu menjual produk dari rumah. Bagaimanapun, kita perlu mengadaptasikan teknologi masa kini.

“Ini sangat penting, saya tidak melihat cara lain kita boleh bertahan tanpa menyesuaikan diri dengan khidmat e-dagang dan teknologi,” katanya ketika merasmikan khidmat berkenaan dalam majlis yang diadakan secara atas talian, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes ketika menghadiri sesi bersama media melalui aplikasi Zoom.

Masidi berkata, menerusi peluang yang tersedia ini, golongan muda perlu mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam industri baharu ini.

“Ini bukanlah waktu terbaik untuk mencari kerja, boleh dikatakan, kita perlu mencipta pekerjaaan untuk diri sendiri.

“E-dagang adalah antara cara terbaik untuk memajukan diri dan perniagaan kita dengan menyediakan harga berpatutan, makanan segar dan perkhidmatan penghantaran.

“Malah pelancaran sudah pasti membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah dan memberi manfaat kepada petani, pembekal dan peniaga,” katanya.

Masidi berkata, beliau berharap lebih ramai pengusaha tempatan, pemilik restoran dan pembekal barangan runcit akan menyertai airasia super app.

Katanya, ia memberi manfaat menerusi data akses serta pasaran luas untuk terus berkembang pesat sebagai super app pilihan Asean.

Untuk rekod, sebagai permulaan, khidmat ini hanya ditawarkan di sekitar Kota Kinabalu dan dirancang akan diperluaskan ke daerah Sandakan dan Tawau.

Manakala setakat ini, sebanyak 100 peluang pekerjaan dibuka bagi masyarakat tempatan sebagai penghantar makanan dan barangan runcit kepada pelanggan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|