Pelajar berkerusi roda rai keputusan cemerlang STPM 2020

Pelajar berkerusi roda rai keputusan cemerlang STPM 2020

Papar: Walaupun terpaksa berkerusi roda menghadiri peperiksaan semester dua ekoran mengalami patah tulang pelvik namun ia bukan halangan bagi
salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, dekat sini, memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan STPM 2020 yang diumumkan hari ini.

Hasliani Jumari, 20, berkata dia bersyukur walaupun diduga dengan kemalangan tetapi masih diberikan kekuatan untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik.

Malahan Hasliani yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seminggu sebelum peperiksaan STPM tidak bersekolah sepanjang bulan Ogos tahun dan hanya hadir semasa peperiksaan sebenar sahaja.

Hasliani menunjukkan keputusan cemerlang yang diraihnya dalam peperiksaan STPM 2020 diumumkan hari ini.

“Bagaimanapun, alhamdulillah saya sudah boleh kembali berjalan seperti biasa selepas tiga minggu kejadian itu berlaku.

“Saya tidak juga berasa terlalu sukar ketika itu kerana kereta dibenarkan masuk untuk menghantar dihadapan dewan peperiksaan. Jadi, saya hanya menggunakan kerusi roda untuk masuk ke dalam dewan sahaja.

“Turut bersyukura kerana rakan-rakan ramai membantu berkongsi nota dan menghantar
lembaran kertas kerja sekolah ke rumah saya yang terletak di Kampung Takis, Papar sepanjang tiga minggu tidak dapat hadir ke sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai pembakar semangatnya hingga mampu meraih keputusan cemerlang, anak bongsu daripada empat beradik itu menyatakan kesungguhan bapa dan adik-beradik yang lebih dewasa menampung perbelanjaan persekolahan menjadi penanda aras untuknya merai keputusan cemerlang cemerlang.

“Bapa dan adik-beradik lain sudah susah payah membiayai perbelanjaan persekolahan, jadi saya termotivasi untuk membalas jasa mereka selama ini.

“Tambahan lagi ibu sudah meninggal dunia akibat kanser semasa saya berusia sembilan tahun. Sejak itu, bapanya yang membesarkan kami empat beradik.

“Hal ini ditambah lagi terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda selama tiga minggu menguatkan lagi kehendak saya mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya sambil mengimbau kembali detik cemas dia dilanggar sebuah kereta ketika turun daripada bas sekolah.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya menghadiri kelas sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang pandemik Covid-19 kerana capaian internet dirumahnya agak baik dan sesi persekolahan bagi pelajar STPM juga dibuka lebih awal selain guru-guru juga banyak membantu memberi penjelasan terperinci dan berkongsi nota melalui Google meet dan telegram.

Dalam pada itu, Hasliani merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Univerisiti Institut Teknologi Mara (UiTM).

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|