Bajet 2022: Jeffrey kecewa tiada peruntukan khas untuk Sabah

Bajet 2022: Jeffrey kecewa tiada peruntukan khas untuk Sabah

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan rasa kecewa terhadap Bajet 2022 kerajaan persekutuan yang tidak menyebut mengenai peruntukan kewangan khas untuk Sabah.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ia memperlihatkan bahawa kerajaan persekutuan masih menafikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri ini.

“Juga tiada peruntukan pembayaran lain seperti 10 peratus cukai minyak atau 10 peratus cukai import produk petroleum selain daripada RM120 juta,” katanya mengulas Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen, kelmarin.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata walaupun ada peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah, namun kenaikan itu tidak mencukupi selain tidak seimbang.

“Sekurang-kurangnya RM10 bilion diperlukan untuk merancakkan ekonomi Borneo bagi menyamai perbelanjaan agresif Indonesia di Kalimantan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menyuarakan gesaannya mengenai keperluan menaikkan lagi peruntukan pembangunan untuk Sabah kepada 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah yang diberikan.

Menerusi bajet tahun depan, Sabah akan menerima RM5.2 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan berkaitan bekalan air, elektrik dan jalan raya, selain kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau bagaimanapun mengakui bajet kali ini bersifat inklusif dan menyeluruh, mengambil kira kebajikan rakyat, sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

Beliau turut mengakui bajet berkenaan menumpukan usaha merancakkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain merancakkan semula aktiviti ekonomi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|