SESB sumbang kelengkapan sekolah kepada 200 murid di Kota Marudu

SESB sumbang kelengkapan sekolah kepada 200 murid di Kota Marudu

Kota Marudu: Seramai 200 murid dari empat sekolah rendah di sini menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), semalam.

Menerusi Program Ceria Ke Sekolah yang juga sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB dan SESB, setiap murid diberikan beg sekolah, alat tulis dan wang tunai RM50 bagi memudahkan persediaan mereka untuk kembali ke sekolah pada bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sumbangan itu membantu meringankan beban ibu bapa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Anak-anak kita terpaksa mengikuti kelas dalam talian selama hampir dua tahun, berikutan penutupan sekolah bagi mengawal penularan Covid-19.

“Saya percaya ia bukan satu peralihan yang mudah daripada kelas dalam talian kepada kelas fizikal tetapi dengan sumbangan SESB ini, penerima akan lebih bersemangat untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Penerima terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada, SK Koromoko, SK Mangin dan SK Panadahan, yang terdiri daripada kumpulan B40, dan dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding; Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Farah Dalila Doris dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kota Marudu, Yusuf Bakrin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|