DPMS rayu kerajaan laksana moratorium

DPMS rayu kerajaan laksana moratorium

Lahad Datu: Dewan Perniagaan Muslim Sabah ( DPMS), merayu kerajaan supaya melaksanakan segera moratorium secara automatik selama 6 bulan kepada golongan B40 dan M40 serta Perusahaan Kecil dan Sederhana
(SME).

Pengerusinya, Bashir Ahmad Kassim berkata, rakyat terutama peniaga kini berada dalam keadaan tertekan kerana pihak bank tidak memberikan moratorium terutama kepada golongan peniaga kecil dan sederhana.

Katanya, para peniaga perlu membayar atau berdepan tindakan guaman sekiranya bayaran tidak dibuat dan semua kos guaman juga ditanggung sendiri oleh peminjam.

“DPMS hampir setiap hari menerima keluhan peniaga dan ahli yang mendakwa mereka dalam keadaan yang amat tertekan.

“Mereka tidak mempunyai wang atau pendapatan untuk membayar sewa kedai sekalipun kerana banyak perniagaan yang ditutup dalam Perintah Larangan Pergerakan ( PKP 3.0),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Bashir berkata, perniagaan yang masih beroperasi seperti restoran juga susut pendapatan sehingga 80 peratus dan tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.

Katanya, pihak bank mengenakan syarat wajib menunjukkan bukti peminjam hilang pendapatan untuk mendapatkan moratorium 3 bulan yang diumumkan oleh kerajaan.

“Namun, peniaga sukar memberikan bukti bahawa mereka hilang pendapatan melainkan penyata bank dan rekod dalaman perniagaan yang mana ia tidak diterima oleh pihak bank.

“Para peniaga tidak mempunyai slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang daripada pekerjaan,” katanya.

Bashir berkata, DPMS dimaklumkan ramai peniaga tertekan dengan keadaan ketika ini dan ditambah lagi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri jelas menunjukkan situasi PKP akan berlarutan beberapa bulan.

“DPMS merayu kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan segera moratorium secara automatik kepada semua peminjam.

“Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dibawa TEKUN untuk membantu ahli yang terjejas bagi mendapatkan pinjaman untuk modal pusingan tanpa faedah atau faedah rendah,” katanya.

Selain itu, Bashir berkata, DPMS juga merayu Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) supaya memberikan diskaun 50 peratus kepada cukai pintu atau tanah setiap premis kedai dan rumah.

Katanya, ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan ramai peniaga terpaksa menutup perniagaan dan menjadi penghutang tegar.

“Moratorium secara menyeluruh bukan saja akan menyelamatkan para peniaga dan rakyat dalam situasi yang ada hari ini, tetapi lebihan duit ditangan rakyat boleh digunakan untuk mengembalikan kitaran wang dalam pasaran perniagaan dan seterusnya menjana semula ekonomi Negara,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|