Tidak ada kes rogol membabitkan remaja perempuan – Polis

Tidak ada kes rogol membabitkan remaja perempuan – Polis

Kota Marudu: Polis mengingatkan orang ramai khususnya di daerah ini supaya menghentikan penyebaran berita berkenaan seorang remaja perempuan didakwa menjadi mangsa rogol.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kes rogol seperti yang didakwa hingga tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya terkesan dengan kenyataan yang tidak diketahui sumber termasuk identiti penulis, tarikh dan masa penulisan dibuat.

“Polis ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima mengenai kejadian rogol membabitkan remaja perempuan di daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, Zairolnizal meminta orang ramai termasuk netizen supaya menghentikan penyebaran kenyataan berkenaan.

“Kita minta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan menimbulkan kegusaran awam.

“Bagaimanapun orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta tampil untuk membuat laporan polis,” tegasnya.

Terdahulu, satu kenyataan tular di media sosial mengatakan satu kejadian rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di hadapan sebuah pasar raya di Kota Marudu.

Selain itu, mendakwa kononnya kejadian itu dikatakan dilakukan oleh sekumpulan lelaki bersenjata parang menggunakan kenderaan jenis Proton Saga warna hitam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|