40 pengunjung, dua pengusaha pusat hiburan dikompaun dalam OBCJ

40 pengunjung, dua pengusaha pusat hiburan dikompaun dalam OBCJ

Kota Kinabalu: Seramai 40 pengunjung dan dua pengusaha premis hiburan dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Semua kompaun berkenaan dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) siri 3, yang dijalankan bagi membanteras kegiatan jenayah di enam lokasi ‘hotspot’, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1 hingga 4 pagi itu turut berjaya membuat pemeriksaan terhadap 148 individu dan 91 pelbagai jenis kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya menyerbu masuk dua premis pusat hiburan dan mengeluarkan kompaun kepada pengunjung serta pengusaha premis.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan 42 kompaun dan menahan empat individu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1) akta sama.

“Operasi turut berjaya mengesan kesalahan pengedaran dadah mengikut Seksyen 39A ADB1952 membabitkan rampasan syabu seberat 1.36 gram.

“Operasi ini turut mengesan kesalahan mengikut Akta Bahan Kakisan dan Letupan, Senjata Berbahaya 1958 dengan merampas sebilah parang dan kerambit selain menyita sebuah motosikal serta kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan berlakunya jenayah mampu mengekang pergerakan penjenayah dan aktiviti pengedaran ataupun penagihan dadah.

Katanya, operasi yang dijalankan membabitkan 72 anggota dan pegawai dalam usaha mencegah jenayah di lokasi ‘hotspot’.

“Antara lokasi tumpuan adalah Kepayan Ridge, Tanjung Aru, Kampung Likas, Kingfisher, Inanam, Pekan Telipok, Manggatal, Rumah kedai Taman Cantik, Luyang dan Taman Kuala Menggatal.

“Selain mencegah kes jenayah di kawasan ‘hotspot’ di daerah ini, usaha ini juga menunjukkan komitmen dan kesungguhan PDRM dalam menangani kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, usaha ini juga mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM yang sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan keamanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|