PGA tahan 2 pemburu haram, rampas bakakuk

PGA tahan 2 pemburu haram, rampas bakakuk

Tawau: Dua lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram ditahan dalam operasi sekatan jalan di Jalan Batu 2, Kalabakan, di sini, hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 27 tahun terbabit turut ditahan bersama senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dalam pemeriksaan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, kira-kira 4.30 pagi.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai baru selesai daripada aktiviti pemburuan haram.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui 13 butir peluru dan seekor rusa serta musang dipercayai hasil pemburuan haram.

“Kedua-dua suspek bersama kenderaan dan barangan dirampas kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Semua barang rampasan termasuk kenderaan yang digunakan kedua-dua suspek dianggarkan bernilai RM53,865 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|