PGA bongkar stor rokok seludup hampir setengah juta ringgit

PGA bongkar stor rokok seludup hampir setengah juta ringgit

Lahad Datu: Tindakan penyeludup menyembunyikan rokok tidak bercukai di sebuah bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Op Kontraban oleh pasukan task force Batalion 17 PGA Lahad Datu jam 11.30 malam itu, menemui sejumlah 3,090 karton rokok tanpa cukai dipercayai bernilai RM474,084 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan serta pemantauan di lokasi.

Bagaimanapun katanya, tiada sesiapa yang menghampiri atau mengawasi barangan seludup yang ditinggalkan berkenaan.

“Selepas pemerhatian, pasukan operasi terus memecah masuk ke dalam bengkel dan mendapati terdapat 141 plastik hitam ditinggalkan mengandungi rokok.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi rokok jenama Premium Emas, Nice Bold dan Magnum Bintang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua rokok tanpa cukai berkenaan terus dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Dati untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|