Sabah berusaha tangani cabaran kesihatan, urus ekonomi

Sabah berusaha tangani cabaran kesihatan, urus ekonomi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri berusaha menangani cabaran kesihatan dan keselamatan secara berkesan, di samping mengurus ekonomi secara mampan dan strategik sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha itu menjadi tumpuan kerajaan bagi memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat terbela, manakala ekonomi negeri dapat kembali pulih.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) bersama dua penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M, Datuk Abdul Jamal Tun Sakaran (kategori lelaki) dan Ustazah Zaloha Ahmad (kategori wanita) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah.

Beliau mengakui perjuangan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi ketika penularan pandemik Covid-19 penuh dengan cabaran, selain ramai yang tertekan dan risau dengan persekitaran kesihatan serta ekonomi yang terumbang-ambing.

“Banyak yang sudah dan sedang kerajaan lakukan bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan di samping mempelbagaikan punca pendapatan rakyat.

“Dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disusun, sememangnya pembangunan ekonomi negeri dan rakyat menjadi agenda utama kerajaan ketika ini,” katanya sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1443H/2021M, di sini, hari ini.

Sambutan bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti itu disempurnakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Bin Mahiruddin.

Hajiji berkata, tahun ini adalah kali kedua Maulidur Rasul tidak diraikan secara tradisi dengan perhimpunan besar-besaran dan berarak, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Bagaimanapun, pandemik ini tidak menghalang semangat serta hasrat umat Islam untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul yang cukup signifikan ini. Sunnah yang ditinggalkannya menjadi pedoman dalam kehidupan pelengkap keimanan seseorang Islam.

“Maulidur Rasul tahun ini juga membawa kita menjejaki ambang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada bulan lalu.

“Pastinya bukan soal jumlah peruntukan yang kita perolehi tetapi seboleh mungkin ia akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Justeru, kerajaan telah merangka pelan pembangunan SMJ bagi mendepani cabaran ini yang berfokus kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan,” katanya.

Hajiji juga berkata, di peringkat negeri, kerajaan sudah melonggarkan sekatan perjalanan rentas daerah yang berkuatkuasa pada 14 Oktober lalu, manakala rentas negeri bermula pada 1 November ini.

“Saya berharap kebenaran ini mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan peluang kepada rakyat untuk hidup seperti dahulu walaupun dalam keadaan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata masa depan negeri ini terletak kepada keupayaan generasi muda hari ini yang bakal mengemudi dan menjayakan hala tuju negeri.

“Justeru itu, kekuatan dan potensi golongan muda di negeri ini akan terus diperkasakan. Ini kerana kemajuan dan kecemerlangan ummah tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya memerlukan transformasi minda dan tindakan, komitmen dan perancangan teliti serta usaha yang bersepadu dan berterusan,” katanya.

Menyentuh konsep Keluarga Malaysia, beliau berkata, seluruh rakyat harus bertoleransi, saling menghormati dan mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini menjadi sumber kekuatan kita dan perlu dipertahankan berasaskan prinsip rukun negara.

“Sabah telah lama menjadi contoh terbaik dalam keharmonian rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kita adalah contoh kepada konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|