Tun Juhar ingatkan jentera kerajaan laksanakan pembangunan dengan baik

Tun Juhar ingatkan jentera kerajaan laksanakan pembangunan dengan baik

Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengingatkan jentera kerajaan supaya memastikan pelaksanaan pembangunan sama ada di bawah bajet negeri atau Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dikendalikan dengan baik.

Beliau berkata, sistem penyampaian yang cekap, proaktif dan kreatif berupaya menimbulkan rasa percaya di kalangan rakyat dalam berhadapan dengan tempoh sukar berbekalkan semangat kesatuan dan cita bangsa yang luhur.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (dua kiri) menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul peringkat negeri kepada Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abdul Jamal Tun Sakaran.

Katanya, perkara itu sejajar dengan konsep akhlakul karimah bagi memotivasi umat supaya lebih responsif dan proaktif khususnya dalam menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang belum reda dan menangani keadaan ekonomi yang belum pulih.

“Kebajikan rakyat perlu sentiasa diberikan perhatian berat dan ekonomi perlu dipastikan terus berdaya saing bagi menghindari beban sosio ekonomi yang lebih getir membelenggu umat.

“Seiringan itu, jentera kerajaan hendaklah memastikan pelaksanaan pembangunan kerajaan sama ada di bawah bajet negeri mahupun di bawah RMK-12 dikendalikan dengan baik,” katanya dalam perutusan ketika menyempurnakan sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menyampaikan perutusan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1443H/2021M.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Juhar berkata, umat Islam di negeri ini perlu berusaha setulus hati menghayati dan menyerap semangat pengorbanan Rasulullah SAW dengan melakukan pengorbanan demi kebaikan semua.

“Usah terlalu berkira setiap sumbangan yang diberikan. Ingatlah bahawa segala kejayaan bermula daripada pengorbanan. Pengorbanan itu pula wajar datang daripada hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

“Pengorbanan yang tulus ikhlas, InsyaAllah akan menatijahkan kemakmuran hidup rakyat dan negeri. Justeru saya juga turut menyeru kepada sekalian rakyat, agar terus mempertahankan perpaduan sesama kita.

“Kita hidup dalam sebuah keluarga yang besar. Justeru saya berkeyakinan rakyat negeri ini adalah model terbaik dalam melestarikan semangat perpaduan sejati merentasi ideologi politik, budaya mahupun kepercayaan,” katanya.

Terdahulu, Juhar menyatakan rasa syukurnya kerana umat Islam di Sabah dapat terus melaksanakan agenda mengagungkan kerasulan Nabi Muhammad SAW melalui Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1443H/2021.

Sempena majlis itu, Juhar turut mengambil kesempatan untuk mengingatkan seluruh umat Islam di negeri ini supaya tidak mengabaikan kewajipan mentransformasi akhlak ke arah akhlakul karimah.

“Ini penting kerana memiliki akhlak yang baik dan terpuji adalah antara pra syarat utama bagi melayakkan diri untuk bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak selaras hadis Riwayat At-Tirmidzi yang
bermaksud: ‘Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya dariku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya’.

“Kecenderungan untuk memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap adalah antara penzahiran akhlak yang baik. Ia menjurus ke arah mempertaut kekuatan dan potensi umat Islam dalam memenuhi tuntutan mengukuhkan hubungan dengan Allah dan mengukuhkan hubungan sesama manusia secara harmoni.

“Apabila ini dapat dilakukan, ia akan membolehkan umat Islam mewujudkan suasana yang ideal bagi menjana keamanan, kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|