Penyelidik UMS bantu penduduk Pulau Sanghai cari sumber air

Penyelidik UMS bantu penduduk Pulau Sanghai cari sumber air

Kota Kinabalu: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjalankan aktiviti eksplorasi potensi air bawah tanah bagi membantu penduduk mendapatkan sumber air di Pulau Sanghai, Sandakan.

Projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Batu Sapi Prihatin selepas melihat kesukaran penduduk pulau itu mendapatkan air bersih.

Ahli Hidrologi UMS, Prof Dr kawi Bidin membantu memasang elektrod untuk proses kajian sumber air bawah tanah.

Eksplorasi disertai kumpulan penyelidik yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), UMS.

Ketua kumpulan penyelidik berkenaan, Dr Mohd Zul Hilmey Makmud, berkata aktiviti eksplorasi itu dicetuskan ketika perjumpaan bersama wakil Pertubuhan Kebajikan Batu Sapi Prihatin pada September lalu yang berhasrat membantu penduduk mendapatkan sumber air.

Ahli Geofizik UMS, Dr Hardianshah Saleh menyediakan alat untuk mengkaji keberintangan bumi.

“Justeru, kami melihat satu kolaborasi boleh dilaksanakan bagi membantu penduduk Pulau Sanghai mengatasi isu bekalan air yang selama ini dihadapi oleh lebih 300 orang penduduk yang tinggal di pulau kecil itu.

“Ketika ini penduduk di pulau itu bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan air yang dibeli dari tanah besar Sandakan. Keadaan itu sering mengganggu produktiviti kehidupan seharian mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dron digunakan untuk imbasan geomorfologi dari udara Pulau Sanghai, Sandakan.

Beliau berkata, pada peringkat awal, Pertubuhan Kebajikan Batu Sapi Prihatin mencadangkan kaedah telaga tiub bagi mendapatkan air bawah tanah yang ada di kawasan Pulau Sanghai.

Bgaimanapun, katanya setelah berbincang dengan kumpulan penyelidik, proses penentukuran di lapangan harus dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan kaedah yang paling sesuai untuk menyediakan sumber air yang efektif dan lestari.

“Kaedah eksplorasi sumber air dijalankan dengan menentukan sumber air bawah tanah melalui imbasan geomorfologi melalui dron, penyiasatan bawah permukaan tanah menggunakan kaedah geofizik dan penelitian hidrologi untuk mencari zon berpotensi mengandungi sumber air,” katanya.

Tambah beliau, penyelidik UMS juga mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi yang ingin mengadakan kerjasama strategik khususnya dalam kerja-kerja CSR bagi mencari penyelesaian isu berkaitan tenaga elektrik, sumber air serta alam sekitar di Sabah.

Dalam pada itu, salah seorang penyelidik, Dr Hardianshah Saleh, berkata air bawah tanah biasanya dijumpai melalui hasil penyiasatan keberintangan tanah.

“Air yang berkonduksi tinggi berbanding batuan akan dapat dicerap melalui data keberintangan dan sekali gus memudahkan proses penentuan lokasi sebelum memulakan kerja pembinaan telaga tiub yang agak mahal dari segi kosnya.

“Teknik ini juga mampu mengesan zon tepu air di bawah permukaan bumi berdasarkan nilai-nilai keberintangan yang diperolehi melalui aliran elektrik,” katanya.

Pakar hidrologi, Prof Dr Kawi Bidin, pula berkata kelestarian sumber bekalan air bawah tanah yang dituai melalui telaga tiub terutamanya di kawasan seperti pulau perlu mengambil kira kedua-dua aspek kuantiti dan kualiti sumber air berkenaan.

“Kadang kala berlaku salah tanggapan dalam kalangan orang awam apabila hanya memikirkan air bawah tanah dan cadangan telaga tiub apabila melibatkan masalah sumber air bagi suatu kawasan dan ini kurang tepat.

“Faktor geologi dan hidrologi suatu kawasan harus dipertimbangkan sebelum menentukan kaedah terbaik bagi mendapatkan sumber air, dan tidak semestinya semua kawasan ada sumber air bawah tanah dan jika adapun tidak semestinya sumber air itu selamat dari aspek kualitinya untuk kegunaan domestik tanpa melalui proses rawatan dan penapisan,” katanya.

Bagi kawasan tertentu, katanya penuaian air permukaan dengan kaedah rawatan yang bersesuaian mungkin juga pilihan yang lebih tepat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|