Ibu meninggal selepas sejam bayi maut kemalangan

Ibu meninggal selepas sejam bayi maut kemalangan

Papar: Ibu kepada bayi yang maut dalam kemalangan di kilometer 40, Jalan Kimanis – Keningau, malam tadi, disahkan meninggal dunia sebaik mendapatkan rawatan di Hospital Papar.

Wanita terbabit yang duduk dibahagian hadapan sambil memangku bayinya yang berusia setahun dilaporkan tercampak keluar sebaik kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra terbabas.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, keluarga berkenaan bergerak dari Keningau menuju ke Papar.

Katanya, ketika menuruni jalan bukit berselekoh dalam keadaan hujan lebat dan pemandu yang juga suami mangsa berusia 40-an, dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh bukit

“Kenderaan berkenaan dilaporkan berpusing berapa kali sehingga mengakibatkan seorang bayi yang berada dipangkuan ibunya tercampak dari kenderaan.

“Akibat kemalangan berkenaan, bayi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mangsa yang parah dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, ibu mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Papar.

Katanya, pemandu bersama dua lagi mangsa membabitkan seorang kanak-kanak, 12, dan wanita berusia 20-an turut mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni jalan bukit berselekoh dan terus melanggar bukit.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|