Seorang maut, lapan cedera kenderaan terbabas di Kampung Paris

Seorang maut, lapan cedera kenderaan terbabas di Kampung Paris

Kinabatangan: Seorang wanita maut manakala lapan cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa yang tersepit dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang berada di lokasi kejadian.


Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, Kinabatangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.58 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax terbabas sendiri ke bahu jalan.

“Terdapat sembilan mangsa terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki. Seorang mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.

“Lapan mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, identiti semua mangsa yang terbabit kemalangan belum diketahui.

“Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan akhir di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 9.30 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|