Wajib kuarantin di KL, langkah proaktif Sabah elak penularan Omicron

Wajib kuarantin di KL, langkah proaktif Sabah elak penularan Omicron

Ranau: Tindakan kerajaan negeri mewajibkan pengembara dari 11 negara yang disenaraikan mempunyai kes Covid-19 varian Omicron yang tinggi menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur adalah satu langkah proaktif bagi mengekang penularan varian itu ke Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walaupun setakat ini Sabah tidak mencatat sebarang kes berkaitan varian berkenaan namun itu adalah langkah yang diambil bagi mengelak ia menular ke negeri ini.

“Kita telah mengambil tindakan secara proaktif dengan memastikan semua pengembara yang datang dari 11 negara yang kita senaraikan mempunyai insiden yang tinggi supaya melalui kuarantin wajib dulu di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan balik ke Sabah.

“Contohnya, kalau ada pelawat dari United Kingdom datang ke Sabah atau orang Sabah kembali dari negara itu, sebelum balik mereka perlu dikuarantin di Kuala Lumpur. Kita cuba mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Mesin Memproses Biji Kopi di Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan kerajaan untuk menghadapi sebarang gelombang baharu Covid-19 berikutan penularan varian Omicron baru-baru ini.

Diminta mengulas lanjut, beliau yang juga jurucakap harian mengenai Covid-19 Sabah menjelaskan walaupun varian itu tidak berbahaya namun tahap penularannya lebih tinggi berbanding varian lain.

“Kes Omicron di Sabah setakat ini tiada tetapi kalau kita baca di akhbar, bahawa sudah ada insiden misalnya pengembara yang melakukan umrah membawa virus ini.

“Namun setakat ini, pakar menyatakan bahawa ia cuma dan ini semua orang setuju cuma tahap penularannya lebih tinggi daripada varian lain,” katanya.

Melalui kenyataan medianya sebelum ini, Masidi memaklumkan pengembara dari 11 negara iaitu United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India dan Pakistan dikehendaki menjalani kuarantin wajib sebelum memasuki negeri ini berkuat kuasa kelmarin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|