Pelukan hingga akhir hayat

Pelukan hingga akhir hayat

Penampang: Dua daripada tiga sekeluarga yang rentung selepas terperangkap di dalam bilik di sebuah rumah terbakar di Taman Hungab, di sini, ditemui saling berpelukan.

Lebih menyayat hati apabila seorang lagi mangsa yang dipercayai cuba menyelamatkan keluarganya turut rentung selepas jeriji tingkap di bilik berkenaan gagal dibuka.

Malah, ibu keluarga terbabit turut didapati terperangkap di dalam bilik air berhampiran bilik tidur berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, kebakaran mengorbankan empat sekeluarga membabitkan dia beradik serta bapa dan ibu berusia lingkungan 15 hingga 50 tahun.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi sebelum mengerahkan sepasukan 11 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi empat minit kemudian, lebih separuh rumah sudah terbakar. Pasukan bomba menyedari terdapat mangsa di dalam rumah namun api sudah terlalu marak menyukarkan usaha penyelamatan.

“Berdasarkan siasatan awal, tiga daripada empat mangsa berada di dalam bilik yang mempunyai jeriji boleh dibuka dan cuba menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Md Ali berkata, seorang lagi mangsa berada di dalam bilik air berhampiran bilik tiga mangsa terbabit ditemui dan itu berkemungkinan mangsa gagal masuk ke bilik berkenaan.

“Saya percaya keempat-empat mangsa ini sedar bila berlaku kebakaran dan cuba mencari ruang untuk menyelamatkan diri namun gagal.

“Mengikut makluman awal saksi kejadian, kebakaran bermula daripada tingkat bawah sebelum merebak ke tingkat atas,” katanya.

Sehubungan itu, Md Ali berkata, pasukan siasatan JBPM sedang menjalankan siasatan bagi mengenal punca sebenar kebakaran.

Katanya, bahagian forensik JBPM akan dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) untuk mengenalpasti punca kebakaran berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|