Padah cabar polis langgar SOP PKPD

Padah cabar polis langgar SOP PKPD

Kota Belud: Tindakan seorang lelaki seperti mencabar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pintasan, di sini, membawa padah apabila dia ditahan pada hari yang sama, kelmarin.

Lelaki terbabit yang memandu Proton Wira dirakam bersahaja melanggar garisan kuning yang dipasang polis sebelum dialihkan dengan tangan di atas bumbung keretanya untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial sehingga menarik pelbagai reaksi daripada netizen.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, kawasan Kampung Pintasan diwartakan sebagai kawasan PKPD bermula 9 Julai hingga 22 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan siasatan yang dilakukan, pasukan polis berjaya mengesan suspek dan terus menahannya untuk siasatan lanjut.

“Suspek bertindak melepasi kawasan PKPD di Kampung Pintasan, dengan melanggar garis kuning sebelum mengangkat tali garisan polis menggunakan tangannya dilihat seolah-olah mencabar tindakan pihak berkuasa.

“Selain itu, tindakan itu juga dibimbangi boleh mengundang risiko penularan wabak Covid-19, di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek memandu dari rumahnya yang terletak dalam kawasan PKPD dan keluar merentasi garisan polis bagi tujuan mengisi minyak.

Katanya, stesen minyak yang dilawati berkenaan adalah terletak di luar kawasan PKPD iaitu di Kampung Tamau, di sini.

“Ekoran itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Per 17 Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 202,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|