Keningau: Dua remaja antara lima pemburu haram yang ditahan dalam operasi Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batu 38 Nabawan, sempadan Hutan Simpan Ulu Pinangah, dekat sini, semalam.
Operasi jam 4.10 petang yang dijalankan bersama Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu turut berjaya merampas selaras senjata api jenis bakakuk.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kelima-lima suspek berusia 13 hingga 44 tahun ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui selaras Bakakuk bersama 17 butir peluru yang dipercayai untuk digunakan dalam aktiviti pemburuan haram.
“Antara suspek yang ditahan termasuk dua remaja berusia 13 dan 16 tahun dan mereka dipercayai menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan.
“Dalam kes itu, pasukan operasi turut merampas pelbagai barangan termasuk senjata api dan kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM47,170,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Abduh berkata, semua suspek dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.
-Deasoka