Covid-19 Sabah: Majlis perkahwinan cetus kluster di Nabawan

Covid-19 Sabah: Majlis perkahwinan cetus kluster di Nabawan

Kota Kinabalu: Aktiviti sosial sempena satu majlis perkahwinan mencetuskan kluster baharu Covid-19 yang dikesan di Kampung Lima, Nabawan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, Kluster Lima itu dikesan selepas seorang lelaki berumur 22 tahun disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos lalu.

“Kluster Lima, Nabawan adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan aktiviti sosial sempena satu majlis perkahwinan di Kampung Lima.

“Kes indeks ialah lelaki berumur 22 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos 2021 selepas mengalami gejala demam, batuk dan sakit sendi bermula 18 Ogos 2021.

“Siasatan mendapati kes ini kemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi berkata, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mengesan sebanyak 61 lagi kes positif termasuk empat kes baharu hari ini.

Katanya, seramai 21 individu lagi masih menunggu keputusan saringan pertama, manakala seramai 53 individu dikesan negatif sampel pertama.

“Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan menjalani pengasingan. Kontak rapat juga sudah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu turut direkodkan di Kinabatangan hari ini, iaitu Kluster Pin Supu, berkaitan kluster tempat kerja di ladang kelapa sawit dalam Mukim Sukau, Kinabatangan.

Masidi berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan ialah pekerja ladang, iaitu seorang wanita warga Indonesia berumur 40 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 22 Ogos lalu.

“Kes indeks yang mula bersimptom sejak 14 Ogos 2021 dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya. Aktiviti persampelan kontak terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif termasuk 32 kes baharu hari ini dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.

“Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 2,834 kes baharu dengan 17 kematian, iaitu tujuh kes di Kota Kinabalu, lima kes di Tawau, dua kes di Keningau dan masing-masing satu kes di Kunak, Semporna serta Penampang.

Seramai 1,077 pesakit pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 5,007 pesakit sedang menerima rawatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|