Lajim meninggal dunia

Lajim meninggal dunia

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Lajim Ukin, yang ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 sejak Selasa lalu meninggal dunia pagi ini.

Pemergian bekas Ahli Parlimen Beaufort itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong.

“Ya benar, beliau telah meninggal pada jam 6.23 pagi tadi dan saya telah menerima panggilan daripada pihak hospital.

“Setakat ini masih di Hospital KPJ namun jenazahnya saya akan bawa juga pulang ke Beaufort,” katanya, di sini.

Berita sedih mengenai pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu turut dikongsi bekas Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki.

“Dukacita dimaklumkan Ybhg Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin baru saja menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ sebentar tadi.

“Jenazah akan dibawa balik ke Kg Kabatu Beaufort selepas proses KKM selesai. Tetima kasih atas doa anda semua,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pagi ini.

Lajim, 66, dimasukkan ke Hospital KPJ selepas disahkan positif Covid-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat sekembalinya dari lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat pada 12 Ogos lalu.

Keadaan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sebelum ini dilaporkan kembali stabil selepas dua hari ditidurkan berikutan keadaan kesihatannya yang sebelum ini dilaporkan merosot.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|