Penyu Hijau diselamatkan

Penyu Hijau diselamatkan

Semporna: Seorang pemilik sangkar ikan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati mengurung seekor penyu yang tersenarai sebagai haiwan dilindungi, dalam operasi di perairan Pulau Bum Bum, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 5.40 petang itu, penyu berkenaan berjaya dikesan menerusi pemantauan udara menggunakan ‘drone’.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Katanya, hasil pemantauan menerusi udara, pihaknya mengesan penyu hidup berkenaan dikurung di dalam sangkar ikan.

“Pasukan operasi terus ke lokasi berkenaan dan menghubungi pemilik sangkar ikan berusia 50 tahun terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

“Penyu spesis hijau berkenaan terus dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana mengurung haiwan yang dilindungi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|