Objek bahagian haiwan dilindungi dirampas dalam OBK

Objek bahagian haiwan dilindungi dirampas dalam OBK

Lahad Datu: Beberapa objek yang diperbuat menggunakan tanduk rusa dirampas dalam operasi bersepadu di sempadan Hutan Simpan Tabin, di sini, semalam.

Rampasan Op Bersepadu Khazanah (OBK) jam 11.30 pagi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika rondaan dijalankan, pihaknya menemui lorong disyaki digunakan sebagai laluan pemburuan haram.

Katanya, pasukan operasi terus membuat pemeriksaan dan menemui sebuah rumah tidak berpenghuni di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui pelbagai objek yang terdiri daripada bahagian haiwan yang dikelaskan dalam Jadual 3 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

“Antara yang ditemui tanduk rusa, hulu pisau yang diperbuat daripada tanduk rusa, cengkerang kura-kura dan beberapa peralatan lain termasuk alat perangkap haiwan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Mohd Abduh berkata, semua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM690 dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(2) Enkmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997

Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian.

Mohd Abduh berkata, ketika ditahan, suspek berusia 48 tahun terbabit dikesan membawa beberapa peralatan disyaki untuk tujuan judi ekor haram.

Katanya, turut dirampas, mesin pencetak, telefon pintar dan wang tunai sebanyak RM5,257 dipercayai hasil kegiatan perjudian berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|