Utamakan penyelesaian isu pandemik covid-19

Utamakan penyelesaian isu pandemik covid-19

Kota Kinabalu: Tumpuan harus diberikan kepada usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat terlebih dahulu sebelum isu pentadbiran negara diselesaikan.

Tinjauan mendapati kebanyakan masyarakat menyatakan kebimbangan mengenai keadaan pandemik Covid-19 lebih tinggi berbanding pergolakkan politik tanah air.

Malah ada juga yang menyuarakan supaya kerajaan sedia ada ketika ini diteruskan sehingga penularan wabak Covid-19 dapat dikawal ataupun diselesaikan.

Ehelaray Moss, 39, berkata, berdasarkan keadaan semasa, penyelesaian membabitkan isu pandemik Covid-19 perlu dirangka dengan segera.

Katanya, apa yang harus diberikan lebih perhatian adalah seperti menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain memastikan bekalan vaksin mencukupi.

“Selain itu, kerajaan juga harus memperbanyakkan bantuan bakul makanan kepada rakyat kerana ramai yang terjejas pendapatan ekoran pandemik ini.

“Amat menyedihkan, ramai yang menjadi korban Covid-19, jadi kita minta kerajaan untuk utamakan tugas melindungi rakyat daripada wabak ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ehelaray berkata, sebagai menyokong usaha ke arah kebaikan untuk rakyat dan negara, semua pihak seharusnya mengurangkan tekanan ke atas perdana menteri supaya beliau dapat fokus kepada isu Covid-19 ini.

Seorang lagi yang ditemui, Alexvern Thomas, 39, semua parti harus menghentikan pertelagahan politik untuk memberi tumpuan kepada langkah pemulihan.

Katanya, Covid-19 adalah musuh setiap rakyat dan kerjasama semua pihak adalah langkah terbaik untuk tujuan mengekang penularan pandemik berkenaan.

“Selepas reda penularan wabak ini, barulah kita boleh beralih kepada langkah memilih kerajaan dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Mengenai langkah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menangani covid 19 di Sabah pula, ia wajar diperhalusi semula memandangkan berlaku peningkatan yang bgitu mendadak,”katanya.

Alexvern berkata, ia mungkin sekali lagi memerlukan langkah ‘total lock down’ bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Stephen Jazzer, 26, berkata, penularan pandemik Covid-19 ini sangat baru untuk sesiapa saja.

Oleh demikian katanya, apa juga usaha dilakukan kerajaan pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dan cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan.

“Justeru itu, kita mengharapkan kerajaan terus kekal fokus dalam usaha membendung wabak Covid-19 yang kini mencatatkan kes baru harian yang amat tinggi.

“Sekarang bukan masa untuk meraih sokongan sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|