Tawaran PM boleh dijadikan asas membuat keputusan

Tawaran PM boleh dijadikan asas membuat keputusan

Kota Kinabalu: Cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha menstabilkan politik ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 boleh dijadikan asas untuk semua pihak membuat keputusan mengenai perkara yang sewajarnya dilakukan.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan ia berkait rapat dengan soal kepentingan rakyat dan semua pihak yang terjejas akibat situasi pandemik yang masih membimbangkan.

Katanya, perkara itu juga boleh menjadi asas pertimbangan atau penilaian rakyat mengenai kecenderungan Ahli Parlimen sama ada keputusan yang diambil memihak kepada kepentingan rakyat atau sebaliknya.

“Diharapkan tawaran Perdana Menteri itu boleh dijadikan asas oleh semua pihak untuk membuat keputusan tentang apa yang wajar dilakukan untuk kepentingan semua pihak.

“Dijangkakan, hal ini menjadi asas pertimbangan atau penilaian rakyat tentang kecenderungan Ahli Parlimen sama ada hanya mementingkan diri atau sebaliknya,” katanya mengulas ucapan khas Muhyiddin petang semalam.

Antara lain ucapan khas berkenaan menggariskan tujuh tawaran atau cadangan kepada pihak pembangkang untuk bersama dengan kerajaan menstabilkan politik dalam usaha memastikan program menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi dapat berjalan dengan lancar.

Ia termasuk memberikan peruntukan tahunan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang, meletakkan status Ketua Pembangkang setaraf dengan Menteri Kanan dan melantik 50 peratus pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Penganalisis politik tempatan itu berkata sama ada pembangkang akan menerima atau tidak tawaran berkenaan, ramai pihak berharap agar mereka membuat pertimbangan mengenai perkara itu dengan sebaik-baiknya.

“Dalam keadaan yang runcing ini rakyat berharap semua pihak, khususnya pembangkang turut menyumbang buah fikiran dan tenaga menangani pandemik.

“Saya secara peribadi berharap pihak pembangkang berlapang dada untuk memikirkan kebaikan dan keburukan tawaran berkenaan untuk kepentingan semua,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah diambil Perdana Menteri itu menunjukkan beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan politik negara tidak terus bergelumang dengan keadaan yang amat buruk.

Dalam ucapan khas semalam, Muhyiddin turut menyatakan akujanji beliau bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.

Beliau turut mengemukakan cadangan untuk melaksanakan Undi 18 tanpa dengan membentangkan segera Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan perkara itu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mencadangkan langkah untuk membentangkan RUU Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan RUU Anti Lompat Parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|