Lelaki babitkan kes curi mesin penapis air ditahan

Lelaki babitkan kes curi mesin penapis air ditahan

Beaufort: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi mesin penapis air akhirnya berjaya ditahan hari ini, selepas lebih dua bulan diburu pihak berkuasa.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kes curi mesin penapis air di Pekan Kuala Penyu, 16 Mei lalu.

Katanya, suspek turut mengaku terbabit dalam beberapa lagi kes membabitkan pecah masuk rumah, tabika dan rumah sarang burung bersama beberapa lagi rakan suspek yang ditangkap sebelum ini.

“Setakat ini, sebanyak tujuh kes pecah rumah di kawasan Kuala Penyu berjaya diselesaikan hasil dari tangkapan suspek ini.

“Permohonan tahanan reman akan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis ini berjaya menahan tiga penjenayah membabitkan kes curi mesin penapis air, pecah rumah dan curi sarang burung di daerah ini, 9 Julai lalu.

Ketiga-tiga penjenayah yang ditahan termasuk dua beradik berusia 25 hingga 42 tahun dalam serbuan di dua rumah di Kampung Melampai, Kuala Penyu, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|