Empat rumah musnah terbakar

Empat rumah musnah terbakar

Tawau: Empat rumah musnah manakala seorang mangsa berusia 36 tahun cedera selepas rumah di Jalan Apas, Batu 15, di sini, terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, sekurang-kurangnya empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melaporkan kejadian itu pada jam 6.25 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera untuk operasi pemadaman.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan sumber air daripada jentera bomba serta air perigi.

“Empat rumah yang terbakar dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Julius berkata, api kebakaran dapat dikawal pada jam 8.05 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|