Kedai roti cetus kluster di Tawau

Kedai roti cetus kluster di Tawau

Kota Kinabalu: Sebuah kedai roti disyaki menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 yang mencetuskan Kluster Batu Dua di Tawau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster berkaitan tempat kerja itu dikesan selepas bapa salah seorang pekerja di kedai berkenaan didapati positif pada 17 Julai lalu.

Katanya, kes indeks berumur 58 tahun yang tinggal di Lorong Habib Abdul Rahman, Batu Dua, Tawau itu menjalani saringan bergejala di sebuah hospital swasta.

Berikutan itu, katanya saringan kontak rapat dilakukan dan mendapati tiga rakan serumah kes indeks positif, termasuk anaknya yang bekerja di kedai roti terbabit.

“Saringan tempat kerja kemudiannya mengesan lapan pekerja kedai roti positif COVID-19. Setakat hari ini, daripada 66 yang disaring, sebanyak 27 kes dikesan positif, manakala tiga sampel didapati negatif dan 36 sampel lagi masih menunggu keputusan saringan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu lagi kluster COVID-19 dilaporkan di daerah Ranau hari ini berkaitan jangkitan dalam komuniti.

Katanya, kluster Gunsapau itu turut membabitkan kontak sosial di Kampung Tagibang, Kota Marudu dengan kes indeks ialah seorang wanita berumur 24 tahun.

“Kes indeks disahkan posiitf COVID-19 pada 21 Julai lalu, diikuti empat lagi kontak positif pada 22 Julai yang dikesan melalui saringan bergejala.

“Turut dikesan positif ialah kontak serumah kes indeks di Kampung Pugi Gunsapau, Nawanon dan Tagibang di Kota Marudu pada 24 dan 27 Julai lalu.

“Dalam tempoh itu, 164 sampel sudah disaring dan mengesan 64 kes positif termasuk enam kes baharu, manakala 100 sampel lagi didapati negatif,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|