Lari tinggalkan rokok berjumlah RM43,300

Lari tinggalkan rokok berjumlah RM43,300

Semporna: Seorang lelaki nekad meninggalkan rokok seludup dibawanya selepas terserempak dengan Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan rondaan di kawasan laut Kampung Selamat, di sini, semalam.

Sebaik cuba dihampiri, lelaki terbabit yang sedang bergerak menaiki bot berkenaan terus terjun sebelum melarikan diri ke arah kawasan bakau di kampung berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menjumpai tiga karung berisi kotak rokok.

Anggota PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.

Katanya, suspek lelaki terbabit dipercayai baru membawa masuk rokok tanpa cukai dari negara jiran Filipina.

“Rampasan dibawa ke Markas PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM43,300 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|