Sabah FC yakin bawa pulang tiga mata

Sabah FC yakin bawa pulang tiga mata

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah Football Club (FC) yakin mampu membawa pulang tiga mata apabila mereka berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertemu PJ City FC dalam aksi Liga Super, malam esok.

Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, kesemua pemain kini cergas 100 peratus dan bersedia untuk menyelesaikan misi memburu kemenangan dalam aksi itu.

Katanya, tempoh rehat panjang selama hampir dua bulan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi baki saingan liga.

“Sepanjang tempoh saingan berehat, kami telah melakukan persiapan rapi termasuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Saya melihat semua pemain sangat bersemangat dan dahagakan kemenangan untuk perlawanan malam esok dan saya harap semua yang dirancang mampu dilakukan sebaik mungkin oleh para pemain dalam perlawanan esok.

“Kita sudah bersiap sedia mencipta kemenangan esok dan ini janji kita kepada pihak pengurusan Sabah FC,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kurniawan berkata, kekalahan kepada PJ City FC dalam aksi pusingan pertama di Stadium Likas pada 13 Mac lalu memberi banyak pengajaran kepada skuad kendaliannya.

Bagaimanapun, katanya, kekalahan itu akan dijadikan ‘panduan’ bagi mereka agar ianya tidak berulang seterusnya mampu mencipta kemenangan.

“Gol kemenangan PJ City FC yang dijaringkan Darren Lok sudah tentu memberi kesan kepada Sabah FC apabila tewas di laman sendiri ketika itu.

“Kami tidak mahu perkara itu (tewas kepada PJ City FC) berulang, kekalahan lalu memberi kami banyak pengajaran dan ia juga satu tips untuk kami berdepan dengan mereka esok,” katanya.

Selepas 13 perlawanan, skuad Badak kini berada di kedudukan ketujuh liga selepas mengutip 16 mata hasil daripada empat kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.

Sementara itu, PJ City FC yang berada di tangga kelapan hanya ketinggalan satu mata di belakang Sabah FC selepas sebelum ini mencatat tiga kemenangan, enam seri, dan empat kekalahan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|