Kota Marudu: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan penjualan dadah dalam operasi selama enam hari yang dilancarkan sejak 1 September lalu.
Semua individu berusia 24 hingga 53 tahun itu yang dikenalpasti terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, operasi dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Katanya, dalam serbuan pertama, tiga suspek berusia 38 hingga 53 tahun yang terdiri pelanggan dan pekerja sebuah premis ‘car wash’ berjaya ditahan.
“Dalam serbuan itu, pasukan polis menahan salah seorang pelanggan ‘car wash’ selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.1 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Zairolnizal berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati dua lagi lelaki turut memiliki satu paket syabu seberat 0.11 gram dan sekotak plastik berwarna hijau mengandungi syabu seberat 0.42 gram.
Katanya, ketika soal siasat dijalankan, salah seorang suspek kemudiannya mendedahkan terdapat tempat penyimpanan dadah di dalam premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak kecil yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 7.12 gram,” katanya.
Sementara itu, Zairolnizal berkata, serbuan kedua dijalankan di simpang Jalan Langkon, Pitas, di sini, dengan menahan sebuah kereta Proton Saga.
Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 32 tahun di hadapan sebuah premis produk rawatan dan kecantikan.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui satu paket plastik mengandungi syabu seberat 31.3 gram yang disembunyikan di bawah alas kaki penumpang hadapan.
“Berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 43.79 gram dengan anggaran harga RM4,400 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya.
-Deasoka