Tip berdepan situasi kereta hanyut ketika banjir

Tip berdepan situasi kereta hanyut ketika banjir

Kota Kinabalu: Kejadian kereta hanyut sememangnya sukar dijangka namun sekiranya terpaksa berdepan situasi berkenaan, persediaan awal amatlah penting.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, orang ramai terutamanya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sebaik-baiknya mengelakkan untuk melalui kawasan banjir.

Bagaimanapun katanya, sekiranya keadaan memaksa atas faktor kecemasan atau sebagainya maka persediaan awal perlu diambil termasuk bertenang dan tidak panik.

“Perkara pertama yang boleh dilakukan sebelum melintasi kawasan banjir adalah membuka tingkap kenderaan bagi memudahkan proses menyelamatkan diri sekiranya kenderaan dihanyutkan.

“Ia berikutan, keadaan air deras selain ditenggelami air akan menyukarkan pemandu atau penumpang untuk membuka pintu kereta,” katanya dalam sesi temuramah khas bersama Deasoka.Com, semalam.

Md Ali berkata, apabila berdepan keadaan tingkap tertutup pula, pemandu perlu bertindak memecahkan tingkap kenderaan untuk keluar.

Namun katanya, cermin paling lemah dan mudah pecah adalah cermin paling belakang dan diikuti cermin tingkap sisi.

“Dalam keadaan cemas itu, sekiranya ada peralatan keras yang boleh digunakan, hentak di bahagian sisi cermin kerana itu adalah ‘kawasan lembut’ untuk cermin.

“Sekiranya berjaya, keluar dan cuba berenang ke tepi sungai dengan mengikuti arus sebelum mendapatkan pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Md Ali berkata, sebelum melintasi kawasan banjir, kenderaan yang digunakan juga perlu diambil perhatian kerana ia memainkan peranan penting.

Katanya, dalam kejadian terbaru, keadaan Perodua Myvi yang rendah menyebabkan arus sungai mudah merempuh bahagian sisi kenderaan sebelum menghanyutkannya.

“Dalam rakaman itu yang tular sebelum ini, Perodua Myvi berkenaan cuba melintasi selepas melihat kenderaan pacuan empat roda berjaya melalui jambatan berkenaan.

“Ia berbeza kerana keadaan ketinggian selain berat kenderaan pacuan empat roda membantu memudahkannya melalui jambatan berkenaan.

“Namun ia berbeza dengan Perodua Myvi yang lebih rendah dan ringan jika dibandingkan dengan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|