ESSCOM tahan remaja tempatan bersama rokok seludup

ESSCOM tahan remaja tempatan bersama rokok seludup

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seorang remaja lelaki selepas disyaki menyeludup masuk rokok di kawasan Felda Tengah, Kalabakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, suspek berusia 16 tahun itu ditahan bersama 20 karton rokok yang dipercayai dibawa masuk tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan yang diketuai oleh ESSCOM membuat serbuan di sebuah kongsi kayu rumah pekerja, di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah tangga berhampiran ruang dapur rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak itu membawa kepada penemuan 20 karton rokok jenis LA Menthol lights.

“Semua rokok berkenaan disyaki belum mendapat kelulusan JKDM dan dianggarkan bernilai lebih RM1,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, rokok seludup berkenaan disyaki diseludup masuk untuk dipasarkan di kawasan Felda kalabakan dan kawasan sekitarnya.

“Suspek yang ditahan bersama barang rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967″, katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang terbabit dalam menjayakan operasi berkenaan.

Katanya, pihak ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti jenayah.

“Ia membabitkan jenayah seperti penyeludupan migran dan kemasukan pati selain memantau pergerakan kegiatan Kidnapping for ransom group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

“Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan sepanjang 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, ia bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibanteras dengan jayanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|