Bantuan guru pakar mantapkan persediaan pelajar hadapi SPM

Bantuan guru pakar mantapkan persediaan pelajar hadapi SPM

Labuan: Memanfaatkan pengalaman guru pakar berkongsi kaedah dan teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan antara pendekatan dilaksanakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, di sini untuk membantu pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh, berkata bermula sejak awal tahun, setiap guru panitia mata pelajaran akan menjemput guru dan penceramah berpengalaman dari luar untuk mendedahkan kepada pelajar kaedah berkesan menjawab soalan SPM mengikut kehendak semasa peperiksaan.

Berikutan itu, katanya kelas Aliran Agama, SMK Mutiara baru-baru ini diberikan tanggungjawab bagi mengendalikan program perkongsian kepakaran guru agama untuk membantu pelajar menghadapi kertas peperiksaan agama SPM dinamakan Program Kecemerlangan PSI SPM 2022.

Beliau berkata, semua pelajar didedahkan cara menjawab soalan berdasarkan kehendak peperiksaan, selain membuat latih tubi soalan berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kita mahu membiasakan pelajar dengan cara menjawab soalan yang tepat dan berkesan supaya mereka mendapat skor markah diperuntukkan bagi setiap soalan sekali gus tidak tersasar serta membuang masa untuk menjawab soalan mudah.

“Dengan cara ini diharapkan pelajar dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan sebenar bermula dari awal tahun hingga ke peperiksaan sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program berkenaan.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Penyelaras Kelas Aliran Agama SMK Mutiara, Ustaz Zainal Abdul Wahab dengan menjemput Guru Pendidikan Syariah Islamiah, Ustaz Muhamad Nordin Kasmon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan sebagai penceramah.

Muhamad Nordin yang berpengalaman luas dalam Pendidikan Syariah Islamiah SPM adalah antara selebiriti penyampai program EDidik di saluran televisyen NTV7.

Seramai 46 peserta yang terdiri daripada pelajar Kelas Aliran Agama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 SMK Mutiara dan pelajar Tingkatan 4 Kelas Aliran Agama SMK Rancha-Rancha serta pelajar dari SMK Agama Bera, Pahang mengikuti program secara dalam talian itu yang ditaja Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Yang turut serta ialah Pengetua SMK Rancha-Rancha, Labuan, Ustaz Wan Azman Wan Awang; Guru Kelas Kemahiran al-Quran SMK Mutiara, Ustaz Kamaruzzaman Razali selaku moderator dan bekas Guru Pendidikan Syariah Islamiah SMK Mutiara, Labuan, Ustazah Noraini Mat Junoh, yang kini bertugas di SMK Subang, Selangor.

Majlis penutupan program itu disempurnakan Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Mohd Syahir Mohd Yusof.

Sementara itu, sebagai penghargaan kepada pelajar yang menyertai program itu, penganjur turut memilih dua peserta terbaik masing-masing dari kelas aliran agama 5 Ibnu Sina, SMK Mutiara, Nurain Atiqah Ramblee dan 4 Alfarabi, SMK Rancha-Rancha, Nur Nazhatul Adwa Mohd Maarof.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|