92 PATI ditahan dalam Op Bersepadu di Merotai

92 PATI ditahan dalam Op Bersepadu di Merotai

Tawau: Seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Op Bersepadu di kuarter pekerja kilang papan, Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini, semalam.

Operasi selama empat jam yang berakhir 3 pagi itu disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin bersama 94 pegawai dan anggota JIM Sabah.

Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata, semua PATI warga Indonesia yang ditahan ini didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan iaitu melebihi tempoh masa tinggal di negara ini dan juga gagal menunjukkan dokumen mereka dengan mengatakan bahawa majikan yang pegang.

“Oleh kerana gagal mengemukakan dokumen ketika diperiksa maka semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui media selepas operasi berkenaan.

Jonathan berkata, semua PATI berusia 15 hingga 50 tahun kemudian dibawa ke Depo Tahanan Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, walaupun negara berdepan penularan wabak Covid-19 namun operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan negara bebas daripada PATI.

Namun katanya, pihak berkuasa menghadapi pelbagai cabaran mengekang pembolosan PATI memandangkan Tawau hampir dengan negara jiran selain sempadan daratan dan laut yang panjang.

“Selain itu juga, kita tidak menolak terdapat pihak tertentu yang bersekongkol membawa PATI masuk ke negara ini demi mendapatkan keuntungan semata mata.

“Ini memang satu cabaran dan kerajaan sudah berusaha tetapi ada pihak tertentu cuba mencari kelemahan hingga mereka boleh membolosi sempadan yang dijaga pasukan keselamatan.

“Pihak berkuasa harus sentiasa berjaga-jaga kerana setiap PATI yang bolos memasuki negara ini secara haram berpotensi membawa virus varian Delta yang sedang memuncak di negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada majikan supaya hanya membenarkan pekerja yang mempunyai dokumen perjalanan sah sahaja dibenarkan bekerja di syarikat mereka bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Jonathan berkata, program pengusiran PATI tidak dapat dilakulan ketika ini kerana terdapat tahanan imigresen yang didapati positif Covid-19 selain permintaan dari Indonesia dan Filipina untuk menangguhkan pengusiran itu memandangkan kes jangkitan di negara berkenaan yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|