Empat penagih ditahan

Empat penagih ditahan

Tawau: Empat penagih dadah ditahan bersama
dadah jenis syabu dalam operasi di sebuah rumah kedai di Ladang Table, Bombalai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti jenayah dadah di ladang berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama Balai Polis Bombalai terus digerakkan ke lokasi.

“Hasil serbuan, polis mendapati empat lelaki disyaki penagih dadah berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut polis kemudiannya berjaya menemukan tiga paket plastik lutsinar berlainan saiz disyaki mengandungi dadah jenis syabu di dalam beg tiga daripada empat suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Peter berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan seberat 15.16 gram.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|