Kota Kinabalu: Organisasi sosial bermotifkan keuntungan Genashtim bekerjasama dengan Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) untuk membantu rakyat Sabah mencari pekerjaan menerusi portal carian kerjaya dalam talian yang khusus.
Dilancarkan pada Ogos lalu, platform Jobs-10G bertujuan untuk menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Pasifik.
Disokong penuh oleh SCENIC, portal pencarian pekerjaan ini berhasrat membantu mereka yang mengalami kesukaran mencari pekerjaan, kekangan fizikal dan sosial, atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19, dengan menghubungkan mereka kepada ekonomi global melalui kerja jarak jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif Genashtim, Thomas Ng berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan SCENIC untuk membantu rakyat Sabah dalam memaksimumkan kelebihan internet khususnya dalam mengakses peluang pekerjaan.
“Kami hanya dapat merekrut sejumlah pencari kerja dari golongan yang terpinggir dengan sumber yang kami miliki. Akan tetapi, dengan mereplikasi Jobs-10G ini, ia dapat mendorong organisasi lain untuk memanfaatkan individu berkelayakan.
“Masyarakat akan maju sekiranya lebih banyak syarikat merekrut dan memperkasakan tenaga kerja yang masih belum dimanfaatkan. Ia akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya sambil menyatakan pencari kerja dan syarikat yang berminat boleh mendaftar di laman www.jobs-10G.com
Thomas berkata, pemohon yang layak akan menerima manfaat hasil daripada latihan Genashtim yang dirancang dalam mempersiapkan tenaga kerja yang berkualiti.
“Mereka akan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan agar dapat memanfaatkan peluang pekerjaan dari syarikat tempatan dan global yang telah memuatnaik peluang pekerjaan di platform Jobs-10,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar SCENIC Viviantie Sarjuni berkata, inisiatif kerjasama sebegini sesuai dengan misi mereka untuk menghubungkan tenaga kerja mahir dengan pelbagai pihak berkepentingan selain mewujudkan impak yang lebih besar.
Katanya, projek ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat Sabah mendapatkan akses pekerjaan dan diambil bekerja oleh syarikat-syarikat besar di pasaran utama APAC seperti Singapura, Australia, dan New Zealand.
“Kita perlu mencari sebanyak mungkin peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah sama ada dengan agensi persekutuan atau syarikat korporat di luar negeri.
“Pekerjaan secara jarak jauh telah menjadi lebih relevan pada masa kini dengan situasi pandemik Covid-19 yang memaksa majikan dan pekerja meneroka cara baharu ini untuk mencari nafkah,” katanya.
Viviantie berkata, demografi sasaran Jobs-10G untuk inisiatif ini adalah menumpukan kepada komuniti terpinggir, terutama mereka yang berada di bawah garis kemiskinan, masyarakat luar bandar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penganggur.
Projek Jobs-10G adalah penerima Geran ‘Social Impact Matching’ (SIM), hasil inisiatif yang diperkenalkan oleh PENJANA dan ditadbir Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), serta disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Jobs-10G diwujudkan berdasarkan kepercayaan Genashtim iaitu masa depan pekerjaan tidak lagi terbatas kepada lokasi tertentu dan kebolehkerjaan melampaui kekangan fizikal, halangan sosial serta sempadan.
-Deasoka