Dua lelaki bakal ke tali gantung

Dua lelaki bakal ke tali gantung

Papar: Dua lelaki bakal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah dalam operasi yang dijalankan di kawasan Kinarut, di sini, semalam.

Operasi dijalankan secara bersepadu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJB) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia 20-an.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah seberat 86.64 gram yang dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah sekitar daerah berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha berterusan polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|