Kota Kinabalu: Gelembung pelancongan akan dibenarkan semula di Sabah berikutan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang sudah melengkapkan vaksin Covid-19.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arrifin, berkata pelaksanaan semula konsep pelancongan itu sejajar dengan pembukaan pusat pelancongan yang dibenarkan untuk individu lengkap vaksin dalam daerah yang sama.
Katanya, konsep gelembung pelancongan akan membolehkan pelancong tempatan melancong di luar daerah masing-masing, namun ia perlu dilakukan melalui agensi pelancongan dan hotel yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
Beliau berkata, agensi pelancongan dan pihak hotel bagaimanapun perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-29) sebelum melaksanakan gelembung pelancongan.
“Pelancong mesti dibawa dari satu lokasi ke lokasi lain, mesti menempah awal, manakala pekerja operator pelancongan, hotel, resort dan homestay mesti sudah lengkap vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika ini penduduk di Sabah dibenarkan berkunjung ke pusat pelancongan dalam daerah masing-masing dengan syarat sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah dalam aplikasi MySejahtera.
Jafry berkata, pemain industri pelancongan sudah boleh membuat persiapan untuk melaksanakan gelembung pelancongan berdasarkan SOP yang ditetapkan.
Katanya, pematuhan SOP yang ketat membolehkan pelancong yakin terhadap keselamatan persekitaran perjalanan dan pelancongan di seluruh negeri.
“Kita bergerak ke arah norma baharu pelancongan. Tidak lama lagi industri akan diaktifkan semula bermula dengan pelancong tempatan dalam negeri Sabah.
“Kita pernah melaksanakannya sebelum ini dan saya percaya dengan tarikan yang banyak di enam zon seluruh negeri, ia adalah permulaan yang baik sebelum kita membuka sempadan negeri.
“Namun, kita perlu mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan agar aktiviti pelancongan dapat diteruskan,” katanya.
Katanya, agensi pelancongan di Sabah boleh berhubung dengan Bahagian Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gelembung prlancongan.
-Deasoka