Kota Kinabalu: Bubur dan mi segera menjadi menu harian yang terpaksa dijamah sembilan penghuni sebuah rumah di Taman Public, di sini, selepas terputus bekalan sejak seminggu lalu.
Itu pengakuan yang dibuat penghuni rumah berkenaan selepas mengibarkan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan.
Bagaimanapun, dilema mereka itu akhirnya mendapat perhatian ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang menghantar pelbagai barangan makanan kepada penghuni rumah terbabit.
Salah seorang penghuni yang ditemui, Azhar Mustafa, 22, berkata, mereka terputus bekalan makanan disebabkan tidak dapat keluar bekerja ekoran diarahkan menjalani kuarantin.
Katanya, mereka adalah pekerja gaji harian yang sudah pasti terputus pendapatan disebabkan arahan kuarantin berkenaan.
“Rata-rata kami pekerja gaji hari, jika tidak turun bekerja, maka tiadalah wang untuk membeli barang makanan atau keperluan rumah.
“Kami tidak dapat keluar bekerja sejak dikenakan kuarantin selepas sembilan daripada ahli keluarga didapati positif Covid-19 dan terpaksa menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu mereka hanya hidup dengan makan telur ayam dan mi segera yang disumbangkan rakan dan kenalan.
Katanya, kesusahan itu turut dikongsikan bersama seorang bayi berusia 11 bulan yang turut terputus bekalan susu.
“Kami tiada pilihan untuk menaikkan bendera putih selepas ia tular di media sosial dan bersyukur kerana mendapat perhatian daripada wakil rakyat di sini,” katanya.
Sementara itu, Chan Foong Hin memaklumkan itu adalah bendera putih pertama yang dikibarkan di Parlimen Kota Kinabalu.
Katanya, kawasan Taman Public juga adalah kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Jumaat, lalu.
– Deasoka