Anggota SSPPDRM maut dirempuh lori

Anggota SSPPDRM maut dirempuh lori

Penampang: Seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis (SSPPDRM) yang membuat kerja sambilan sebagai penghantar makanan ‘Grab’ maut selepas dirempuh lori dalam kejadian di Jalan Papar Lama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa berusia 33 tahun terbabit disahkan maut ditempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan menghantar makanan tiba-tiba dirempuh lori yang terbabas dari jalan bertentangan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan.

Anggota bomba mengusung mangsa selepas berjaya dikeluarkan dari bawah lori.

“Pemandu lori terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas di tengah pembahagi jalan dan terus memasuki laluan bertentangan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang penunggang motosikal terus dirempuh sebelum diseret beberapa meter sehingga memasuki parit di tepi jalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Rakaman video CCTV yang ditularkan di laman media sosial sejak tengah hari tadi.

Katanya, ia bukan saja boleh mengganggu siasatan tetapi juga untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|